ARKIB : 18/07/2010
Bagaimanapun nama tokoh pahlawan maritim, pentadbir, pedagang dan pejuang Melayu terawal ini diabadikan pada Sekolah Kebangsaan Nakhoda Muhammad Taib, Batu Tiga, Segari, Lumut, Perak atas cadangan novelis Bahagia Sesudah Derita, Cikgu Md. Akhir Leman yang pernah mengajar di situ.
Cikgu Md. Akhir Leman ini juga banyak menulis rencana tentang perjuangan hebat dan gemilang Nakhoda Muhammad Taib dalam beberapa buah rencananya di majalah Mastika seperti Kisah Sebuah Kerajaan Melayu Yang Hilang -Kuala Sepit (Mastika, Disember 1956), Semambu Bangkut Mempunyai Hikmah (Mastika, Februari 1960) dan Lumut Dari Segi Sejarah (Mastika, Mac 1962).
Ketokohan Nakhoda Muhammad Taib dan kehebatan perjuangannya mendorong beliau dianugerahkan surat kuasa oleh Sultan Perak ke-23, Sultan Jaafar Muadzam Shah pada tahun 1856 untuk memerintah Jajahan Kuala Sepit.
Kesan-kesan pemerintahan Nakhoda Muhammad Taib kebanyakannya sudah tiada tetapi boleh dilihat tapaknya di sekitar kawasan Segari, Hujung Pasir dan sebagainya. Barang-barang peninggalannya sudah diserahkan oleh waris-warisnya yang masih ada di sekitar Batu Tiga ,Segari, Ipoh dan sebagainya kepada Kompleks Muzium Matang (Kota Ngah Ibrahim).
Perjuangan
Kisah perjuangan Nakhoda Muhammad Taib ada juga disentuh oleh Prof Dr.Othman Mohd.Yatim dalam bukunya Dinding Jajahan Istimewa di Perak (1994). Kisah perjuangan hebat Nakhoda Muhammad Taib membanteras lanun di perairan Kuala Sepit, Dinding, Lumut, Selat Melaka dan sebagainya dengan sebilah keris bernama Helang Menyambar, Lancang Kuning dan sebatang tongkat bernama Semambu Bangkut masih segar dalam ingatan penduduk-penduduk di situ.
Bagaimanapun apabila berlaku Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 yang menandakan pencerobohan kuasa penjajah Inggeris ke atas negeri Perak, waris Nakhoda Muhammad Taib iaitu Nakhoda Md. Ariff dan sebagainya hilang kuasa dan menjadi rakyat biasa serta semakin dilupakan orang walaupun warisnya seperti Haji Zainal Abidin Yen merupakan tokoh terbilang dalam bidang sukan ragbi dan Sarjan Ahmad Nadzri.
Menyedari dan menginsafi nama, jasa dan digniti Nakhoda Muhammad Taib semakin dilupakan dan tidak dikenali orang kini dan generasi akan datang, Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Bandaraya Ipoh (Pintar) dan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Yayasan Perak, Kerajaan Negeri Perak, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan masyarakat kampung Batu Tiga menganjurkan Seminar Memartabatkan Kepahlawanan Nakhoda Muhammad Taib pada 24 Julai ini di Chalet de Idaman, Teluk Senangin, Lumut, Perak.
Seminar ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga jam 6.00 petang.
Sebanyak 17 kertas kerja akan dibentangkan antaranya oleh Prof. Datuk Dr. Othman Mohd.Yatim, Prof. Madya Dr. Talib Samat, Md. Akhir Leman, Meor Ahmad Tajuddin Meor Mazlan, Haji Zainal Abidin Yen dan Abdul Latip Ariffin iaitu bekas kurator Muzium Matang.
Seminar yang berusaha merakyatkan dan memasyarakatkan sastera dan sejarah ini terbuka kepada semua. Untuk mendapat keterangan lanjut boleh urus setia di talian 012-2269740 atau Hariffudin Kamarudin di talian 017-5736852.
Pada sebelah malamnya diadakan acara baca puisi tentang kisah perjuangan Nakhoda Muhammad Taib oleh pelajar-pelajar UPSI dan penduduk Batu Tiga, Segari.
Pada 25 Julai pula diadakan majlis tahlil dan doa selamat untuk Allahyarham Nakhoda Muhammad Taib dan waris-waris yang telah meninggal dunia.
Dua puluh lapan juta rakyat Malaysia mungkin sudah tidak mengenali nama Nakhoda Muhammad Taib (meninggal dunia 1873) yang membuka dan mentadbirkan Kerajaan Melayu Kuala Sepit (1857-1876). Pusaranya terletak di Bukit Teluk Kopiah, Batu Tiga, Segari, Lumut, Perak.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Ayer_Tawar
ReplyDelete